Saturday, July 31, 2010

Semangat Patriotisme

                                                                                                 
PENGENALAN dan DEFINISI

 Patriotisme didefinisikan sebagai sikap-sikap positif dan menolong terhadap

'tanah air' oleh individu-individu dan kumpulan-kumpulan. 'Tanah air' atau 'ibu
pertiwi' itu mungkin suatu bandar atau rantau, namun patriotisme ini memaksudkan
bangsa dan/atau negara.


Patriotisme meliputi sikap-sikap seperti bangga akan pencapaian dan budaya bangsa,
kehendak memelihara ciri-ciri bangsa dan dasar budayanya, dan identifikasi dengan
ahli-ahli lain dalam bangsa. Patriotisme dikait rapat dengan nasionalisme, dan
istilah-istilah ini digunakan seolah-olah bersinonim dengan satu sama lain.
Patriotisme mengandungi konotasi etika. Contohnya 'tanah air' ini sendirinya
adalah satu taraf moral atau nilai moral.

Patriotisme juga membayangkan bahawa seseorang wajar mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan diri dan kelompoknya. Ketika peperangan, mungkin nyawa diri yang perlu dikorbankan. Gugur dalam pertempuran demi tanah air merupakan contoh tipikal bagi patrotisme ekstrem.




1 semangat 1 hasrat 1 tekad 1 malaysia

Friday, July 30, 2010

Menilai patriotisme rakyat Malaysia mutakhir

Patriotismenya adalah semangat yang murni, universal dan bebas daripada elemen perkauman. Semangat perjuangan dan pengorbanan ini lahir daripada nilai-nilai cinta, kasih, sayang dan kesetiaan kepada nusa dan bangsa.

Lazimnya, patriotisme didasari oleh sifat dan sikap kesukarelaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan, dedikasi dan komitmen seseorang insan untuk mempertahankan kemerdekaan negara dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan bangsanya.

Matlamatnya supaya perlembagaan, undang-undang, integriti, kredibiliti, kepentingan, kemajuan, kejayaan, kemakmuran, kesejahteraan, keharmonian, perpaduan, ketenteraman, keamanan dan kelangsungan bangsa dan negara ini tidak diganggu-gugat oleh sesiapa.

Oleh itu, patriotisme adalah sesuatu yang abstrak. Ia lahir daripada tindakan atau perjuangan seseorang yang berasaskan kepentingan negara, agama dan bangsa.

Patriotisme membabitkan minda, sanubari dan naluri. Ia juga membabitkan roh dan jiwa, semangat dan keinsafan, serta cinta, kasih dan sayang.

Di zaman silam, patriotisme di Malaysia sering dimanifestasikan menerusi kesukarelaan dan keberanian seseorang berperang demi kepentingan ibu pertiwinya, untuk berjuang menentang penjajah, atau memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya.

Di zaman mutakhir, patriotisme Malaysia dimanifestasikan menerusi kepimpinan yang berjiwa rakyat, bertungkus-lumus memajukan negara untuk mencapai taraf dunia dan sentiasa memperjuangkan keselamatan tanah air dan kesejahteraan ummah.

Patriotisme Malaysia mutakhir juga dibuktikan oleh segolongan bangsa Malaysia menerusi penciptaan rekod-rekod dunia melalui aktiviti yang amat mencabar, lasak dan berbahaya.

Contohnya, pelayaran mengelilingi dunia secara solo, berenang menyeberangi Selat Inggeris dalam tempoh yang tersingkat, memacak dan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Everest, dan menawan Kutub Utara.

Pada tahun 2020, patriotisme Malaysia wajar pula dimanifestasikan menerusi kemasyhuran bangsa Malaysia memenangi Hadiah Nobel, kejayaan menerokai angkasa lepas, memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat, kebijaksanaan dalam bidang sains, teknologi dan perubatan, serta menjadi pemain global dalam semua bidang.Berikut adalah antara beberapa definisi patriotisme mengikut beberapa kamus dan ensaiklopedia Melayu dan Inggeris:

``Perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.'' Semangat cinta tanah air dan sikap bersedia mengorbankan apa sahaja untuk kejayaan dan kemakmuran negara.
``Perasaan dan sifat mencintai negara dan mempertahankannya pada bila-bila masa.
``Cinta dan setia kepada negara.''
``Dedikasi yang tinggi kepada negara.''
``Cinta dan kesetiaan kepada negara, kerajaan dan institusinya.''

Beberapa cendekiawan Malaysia dari pelbagai latar belakang pula pernah memberikan definisi patriotisme seperti berikut:

``Kasih sayang kepada bumi tempat tinggalnya.''
``Kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap negaranya.''
``Ikatan spiritual antara individu dan negaranya.''
``Sentimen nasional yang menitikberatkan kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada negara.''

Oleh itu, patriotisme bolehlah ditakrifkan sebagai semangat perjuangan dan pengorbanan yang berasaskan nilai-nilai cinta, kasih, sayang, kesetiaan, kebanggaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan dan komitmen seseorang manusia kepada agama, bangsa dan negaranya.

Patriotisme penting kepada Malaysia. Ia menjadi satu daripada prasyarat pembentukan bangsa dan pengukuhan ketahanan nasional.

Menerusi patriotisme, bangsa dan negara Malaysia boleh terhindar dari pancaroba, agamanya terus mulia, jati dirinya tetap unggul, budayanya mantap, politiknya bebas dari pengaruh universalisme, perpaduannya teguh, semangat juangnya pukal, dan masa depannya terus cerah.



Ia perlu mementingkan prinsip-prinsip perjuangan dan pengorbanan, kewajipan dan tanggungjawab, komitmen dan dedikasi, kesungguhan dan kesukarelaan, keberanian dan keperkasaan.

Penerapan dan penyuburan patriotisme Malaysia juga wajar mencakupi aspek kepintaran dan kebijaksanaan, konsistensi dan kesinambungan, kesetiakawanan dan kesetianegaraan, perpaduan dan keharmonian, disiplin dan undang-undang.

Di samping itu, patriotisme Malaysia juga perlu menitikberatkan elemen kredibiliti dan integriti, kreativiti dan produktiviti, ilmu dan pengetahuan, kemajuan dan kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan, kemerdekaan dan kedaulatan.

Tetapi, untuk menjadikan bangsa Malaysia bersedia untuk berjuang, berkorban dan bertempur di seluruh medan kehidupan, termasuk bidang-bidang kritikal seperti keilmuan, keagamaan, ekonomi, perdagangan, siasah dan diplomasi antarabangsa. Ini kerana musuh bangsa Malaysia di hari muka bukan hanya aggression ketenteraan seperti peperangan antiterorisme global. Musuh mereka akan menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Musuh bangsa Malaysia di hari muka juga mungkin dalam bentuk subversion, infiltration dan juga pengaruh ideologi americanisme dan universalisme. Oleh itu, proses penerapan, penyuburan dan penyemarakan patriotisme Malaysia hendaklah dilaksanakan menerusi proses pendidikan serta penguasaan ilmu dan pengetahuan, di peringkat yang paling rendah dan asas, hinggalah ke peringkat yang setinggi-tingginya.

Hakikat ini penting untuk diinsafi, dikaji dan dihalusi secara komprehensif dan segera oleh semua pihak supaya seluruh resipi, strategi dan dasar ke arah mewujudkan patriotisme dan pembinaan ketahanan nasional di Malaysia benar-benar selaras dengan kedudukan dunia yang sedang dihambat ledakan ICT, perkembangan bioteknologi serta kebangkitan neoimperialisme.

Hanya sesudah itu, bangsa Malaysia perlu dituntut memahami, menghayati dan mengamalkan kebijaksanaan silam bahawa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung; biar putih tulang, jangan putih mata; kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa jadi gantinya, bila musuh datang melanda, patriotisme Malaysia jadi penangkisnya!

salam